Showing posts with label Info PR. Show all posts
Showing posts with label Info PR. Show all posts

Wednesday, July 14, 2010

Bentuk Badan yang Berbeza

Pelakon babak ngeri atau lasak dalam Power Rangers(PR) kebiasaannya akan dipilih berdasarkan saiz pelakon yang melakonkan watak Ranger tersebut. Ini bagi menghasilkan ilusi kepada penonton supaya mereka benar-benar percaya bahawa pelakon itu sendiri yang memakai suit Ranger dan pergi bertarung.

Namun tidak kesemuanya pelakon mampu dipadankan dengan pelakon lagak ngeri yang mempunyai bentuk badan dan ketinggian yang sama kerana atas dasar tidak cukup pelakon, bajet yang terhad dan sebagainya. Selain itu juga, kadangkala pihak produksi terpaksa mengambil pelakon lagak ngeri yang sama saiz dengan pelakon lagak ngeri dalam Super Sentai(SS) supaya penonton tidak akan dapat membezakan antara babak yang dirakamkan oleh produksi Amerika dan produksi Jepun, walaupun saiz badan pelakon lagak ngeri itu tidak menepati saiz badan pelakon watak Ranger tersebut.

Kali ini saya akan berkongsi serba sedikit tentang perbezaan ketara yang dapat kita lihat antara beberapa pelakon PR dengan pelakon lagak ngeri yang mewakili mereka dalam suit Ranger mereka. Perbezaan yang saya maksudkan ini adalah dari segi saiz badan, ketinggian dan sebagainya. Untuk maklumat anda, saya tidak akan menyenaraikan Ranger kuning wanita dalam beberapa siri PR yang mana telah menggantikan watak lelaki dalam SS kerana sudah tentu terdapat perbezaan yang amat ketara. Saya juga tidak senaraikan Justin dalam Power Rangers Turbo atas sebab yang sama.

Semua pendapat yang saya akan nyatakan di bawah ini adalah atas dasar pemerhatian saya semata-mata. Oleh sebab itu, pendapat saya ini tidak semestinya betul bagi semua orang. Dan saya juga mungkin ada tertinggal mana-mana Rangers yang sepatutnya saya letakkan dalam senarai ini. Berikut adalah pelakon-pelakon PR yang nampak seperti bukan mereka sendiri yang memakai suit Ranger :

Shane & Dustin (PR Ninja Storm) : Badan Shane lebih besar dan tegap berbanding Dustin, tetapi bila dalam bentuk Ranger, badan Ranger kuning pula yang kelihatan lebih besar berbanding Ranger merah


Jack & Sky (PR SPD) : Ketinggian Sky melampaui Jack, tetapi bila dalam bentuk Ranger, Ranger merah kelihatan lebih tinggi berbanding Ranger biru


Doggie (PR SPD) : Ini pula bukan kerana saiz badan tidak sama, tetapi kerana bentuk muka. Saya rasa mesti semua orang tertanya-tanya bagaimana muka Doggie boleh muat masuk dalam helmet tu. Hidung dia mesti penyek dekat dalam tu. Kelakar betul.


Theo (PR Jungle Fury) : Theo merupakan ahli kumpulan yang paling kecil dan pendek namun apabila dalam bentuk Ranger, ketinggian Ranger biru lebih kurang sama dengan Rangers yang lain malah lebih tinggi daripada Ranger kuning.


Hanya ini sahaja yang boleh saya senaraikan dalam post kali ini. Tujuan saya membincangkan hal ini bukan atas dasar saya ingin mengkritik pihak produksi PR, tetapi kerana saya minat mengkaji elemen-elemen yang terdapat dalam PR. Lain kali mungkin saya akan senaraikan pelakon dan pelakon lagak ngeri yang mempunyai saiz badan yang sama pula.

Tuesday, July 13, 2010

Lelaki kepada Wanita dalam PR

Dalam sesetengah siri Power Rangers (PR), terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap siri Super Sentai (SS) yang asal di mana salah seorang watak Ranger lelaki dalam SS telah digantikan dengan watak Ranger wanita. Kesemua watak Ranger yang ditukar jantina ini adalah untuk Ranger kuning. Ini telah dibuat sejak zaman Mighty Morphin Power Rangers (MMPR) lagi.

Pada pendapat saya, sewaktu MMPR mula untuk dipasarkan, pihak produksi cuba untuk menambahkan bilangan wanita dalam kumpulan Rangers supaya ia dapat menarik lebih banyak penonton di samping mewujudkan seorang rakan karib kepada watak wanita Ranger merah jambu. Namun dalam siri Zyuranger (siri asal bagi MMPR yang dihasilkan oleh produksi Jepun), hanya terdapat seorang sahaja ahli wanita iaitu Ranger merah jambu, manakala Rangers yang lain adalah lelaki. Oleh itu, pihak produksi MMPR telah mengambil langkah yang agak drastik di mana mereka menukarkan Ranger kuning (lelaki) dalam Zyuranger menjadi Ranger kuning (wanita) dalam MMPR. Oleh sebab itu, maka wujudlah watak Trini Kwan sebagai Ranger kuning dalam MMPR.

Saya teringat waktu saya menyaksikan MMPR sewaktu kecil dahulu, saya tertanya-tanya kenapa Ranger kuning mempunyai badan yang tegap seperti lelaki dan tidak mempunyai skirt seperti Ranger merah jambu. Rupa-rupanya inilah jawapan kepada pertanyaan tersebut. Antara langkah yang dilaksanakan oleh pihak produksi PR untuk menutup sedikit perbezaan ini supaya tidak terlalu ketara adalah dengan menjadikan wanita yang memegang watak Ranger kuning ini seorang yang kuat atau lasak seperti lelaki.

Pertukaran ini tidak berhenti setakat ini sahaja. Ia juga turut dilaksanakan dalam siri-siri seterusnya seperti Power Rangers Lost Galaxy, Power Rangers Light Speed Rescue, Power Rangers Time Force dan kali terkhir dalam Power Rangers Wild Force. Samada ia akan berlaku lagi dalam siri-siri yang akan datang, sama-samalah kita tunggu.

PR wanita <--> SS lelaki
.
.

Kaitan Power Rangers dan Super Sentai

Bagi anda yang masih belum tahu, Power Rangers (PR) dihasilkan berdasarkan siri Super Sentai (SS) yang dihasilkan oleh Jepun. PR bukanlah idea yang datang sepenuhnya daripada Amerika, mereka cuma membeli SS dan menghasilkan siri baru dengan menggunakan pelakon dan jalan cerita yang baru. Ini membolehan SS dipasarkan dengan lebih meluas ke serata dunia, tetapi dalam bentuk yang lain.

Antara sebab kenapa SS perlu dihasilkan semula dalam bentuk yang lain ialah kerana budaya Jepun yang dipaparkan dalam SS amat unik dan berbeza dengan budaya negara lain dan ia masih belum dikenali dan difahami di seluruh dunia. Manakala budaya Amerika telah pun dikenali hampir di setiap pelusuk dunia.

Jika anda menoton PR, kebanyakan adegan berlawan yang anda tonton itu diambil bulat-bulat dari footage SS, terutamanya babak berlawan antara robot gergasi dan raksasa. Anda dapat lihat perkara ini berdasarkan perbezaan warna dan kualiti antara babak yang dirakamkan oleh pihak produksi Amerika dan pihak produksi Jepun. Berdasarkan pemerhatian saya, PR banyak menggunakan footage SS sewaktu zaman awal kemunculannya di kaca TV. Namun musim-musim baru PR sekarang ini telah pun mengurangkan penggunaan footage SS, dimana pihak produksi PR telah banyak merakamkan aksi dan babak mereka sendiri. Bagi saya ini merupakan perkembangan yang bagus dan baik, kerana PR tidak perlu terlalu banyak bergantung dengan SS.

SS telah mula ditayangkan sejak tahun 1975. Bagi sesiapa yang lahir pada era-80an, pasti anda ingat sesuatu ketika dulu anda pernah saksikan Flashman, Maskman dan Jetman di kaca TV kita. Ketiga-tiga siri ini merupakan antara siri SS yang telah dihasilkan. Namun pada waktu tersebut, PR masih belum dihasilkan lagi. PR hanya mula dihasilkan pada tahun 1993 iaitu Mighty Morphin Power Rangers, dimana ia dibuat berdasarkan siri SS pada tahun sebelumnya iaitu Zyuranger. Gambar di bawah boleh menjelaskan lagi tentang perbezaan dan persamaan antara kedua-dua siri ini :

Menggunakan costume yang sama


Barisan pelakon Mighty Morphin Power Rangers

Barisan pelakon Zyuranger

Jika ada yang bertanya antara SS dan PR yang manakah lebih baik, saya tiada jawapan bagi soalan ini. Bagi saya, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Anda boleh menilainya sendiri. Selagi kedua-duanya menghiburkan, tidak perlulah kita buat perbandingan.